• Ular Sawa Batik 3 meter Yang Kekenyangan Ditangkap Bomba

    Published: Sunday, 5 November 2017
    A- A+

    SABAK BERNAM - Seorang remaja terjatuh daripada motosikal ditunggangnya gara-gara terkejut melihat kelibat seekor ular sawa batik sepanjang lebih tiga meter yang melintas jalan masuk ke rumahnya, di Kampung di Parit 8, Sekinchan, semalam.

    Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, Khairul Ikhwan Roslan, 17, tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia seterusnya memaklumkan penemuan ular sawa tersebut kepada ibunya, Hakimah Sawal, 53.

    Menurut Hakimah, sebaik anaknya memaklumkan kejadian itu, dia segera menghubungi pihak bomba untuk meminta khidmat bantuan menangkap reptilia berkenaan.

    "Sementara menunggu kedatangan bomba, kami terus memerhatikan ular sawa itu namun reptilia tersebut tidak melarikan diri.

    "Ular itu mungkin kekenyangan kerana baru lepas membaham habuannya. Mungkin ayam ternakan penduduk berhampiran," katanya.

    Menurut Hakimah, ini kejadian kali pertama seekor ular sawa sebesar itu ditangkap di kawasan rumahnya.

    "Kalau ular jenis tedung selar atau ular senduk sudah banyak kali ditangkap tapi ular sawa, ini kejadian pertama," katanya.

    Sementara itu, Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Pegawai Kanan Bomba II Zulkafli Mayas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.23 malam.

    Katanya, seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi dan operasi menangkap ular sawa itu hanya menggambil masa kurang 10 minit berikutan reptilia terbabit tidak bertindak agresif kerana kekenyangan.

    "Ular yang ditangkap itu kemudiaannya dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh daripada kawasan penempatan," tambahnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Ular Sawa Batik 3 meter Yang Kekenyangan Ditangkap Bomba "