• Turki Lulus Undang-Undang Wujud Agensi Akreditasi Halal

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+


    ANKARA - Parlimen Turki pada Rabu meluluskan undang-undang bagi mewujudkan agensi akreditasi halal pertama di negara itu, lapor agensi berita Anadolu (AA).

    Di bawah undang-undang itu, agensi dikenali Institut Akreditasi Halal (HAK), bakal menjadi agensi tunggal yang mempunyai kuasa untuk memperakukan dan memberi akreditasi produk halal - barangan yang dibuat mengikut piawaian Muslim - di Turki.

    Institut tersebut juga dibenarkan menubuhkan pejabat di luar negara dan memberi akreditasi kepada institusi asing yang berhasrat mendapatkan sijil perakuan halal.

    Dibantu dengan petugas seramai 50 orang, HAK diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi dan mewakili Turki di arena antarabangsa serta serantau untuk mendapatkan kesatuan akreditasi antarabangsa.

    Selain, menguatkuasakan standard halal di negeri dan wilayah, penubuhannya juga bertujuan melindungi bilangan pengguna halal yang semakin meningkat serta mempermudahkan perdagangan antarabangsa.

    Ketua Persatuan Ahli Perniagaan Anatolian (ASKON), Hasan Ali Cesur berkata, pasaran makanan halal di Turki kini bernilai $6 bilion setahun dan mampu meningkat kepada $15-20 bilion dalam tempoh sedekad.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Turki Lulus Undang-Undang Wujud Agensi Akreditasi Halal "