• Tunjuk Kemaluan, Pekebun Didenda RM2,500

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang pekebun sayur didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa kerana berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar wanita minggu lepas.

    Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas V. Devadasan, 48, selepas dia mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan terhadap seorang pelajar kolej swasta berusia 18 tahun.

    Dia melakukan kesalahan itu di Taman Maluri di sini, pada 11 malam, 21 November lepas, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

    "Semasa kejadian saya ingin membuang air kecil, oleh kerana kawasan tersebut tidak mempunyai bilik air saya buang di suatu kawasan gelap tanpa sedar pelajar itu melalui kawasan tersebut. Saya memohon maaf dan menyesal dengan tindakan saya,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira faktor keselamatan awam kerana perbuatan itu tidak bermoral.

    “Jika benar tertuduh tidak tahan mahu membuang air kecil, dia sepatutnya ambil tindakan yang bijak dan bertanggungjawab dengan mengambil kira kawasan sekeliling,” katanya.-- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Tunjuk Kemaluan, Pekebun Didenda RM2,500 "