• Tun M, Pemimpin PAN Menepati Istilah 'Pemimpin Penyangak'

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu utama yang dipercayai dirujuk oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai `pemimpin penyangak' hingga menyebabkan parti itu enggan bekerjasama dalam gabungan pakatan pembangkang.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggap individu paling menepati kenyataan Abdul Hadi, bersandarkan kepada kenyataan yang pernah dibuat Ahli Parlimen Marang itu, selain pemimpin PAS lain sebelum ini.

    Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata istilah `pemimpin penyangak' dilihat sangat konsisten dengan pelbagai kenyataan Abdul Hadi dan pemimpin PAS sebelum ini, yang banyak menyalahkan Dr Mahathir atas pelbagai kerosakan yang berlaku dalam negara sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

    Sebagai contoh katanya, pada 20 Oktober lalu, Abdul Hadi meminta Dr Mahathir bertaubat 'kerana bekas Perdana Menteri itu menjadi penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator'.

    Beliau berkata, sebelum itu, pada 15 Ogos pula, Abdul Hadi meminta Dr Mahathir bertaubat di atas peristiwa Memali dengan menyebut: `tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti.'

    "Begitu juga dengan pelbagai skandal kewangan didakwa oleh pemimpin PAS sebagai dilakukan Dr Mahathir di mana dalam isu forex contohnya, pemimpin Pemuda PAS adalah yang pertama meminta Dr Mahathir disiasat apabila keluar pendedahan CIA mengenainya sehingga akhirnya mendorong Kabinet menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasatnya.

    "Begitupun, disebabkan Abdul Hadi menyebut `di dalam pakatan harapan juga ada pemimpin penyangak', maka ini bermakna pemimpin penyangak ini ramai, dari pelbagai parti politik dalam pakatan harapan khususnya yang bersekongkol dengan Dr Mahathir," katanya hari ini.

    Semalam Abdul Hadi menegaskan partinya tidak boleh bersama gabungan pakatan pembangkang kerana didalamnya ada `pemimpin penyangak' dan PAS ketika ini lebih selesa menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

    Mengulas lanjut, Kamarul Zaman tidak menolak kemungkinan `pemimpin penyangak' turut merujuk kepada pemimpin Parti Amanah Negara yang membawa lari kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi atas tiket PAS kerana tindakan itu adalah mencuri, sekali gus menepati istilah `penyangak' mengikut Kamus Dewan yang membawa maksud `pencuri' atau `penjahat'.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata Abdul Hadi dipercayai merujuk `pemimpin penyangak' kepada bekas pemimpin PAS yang kini bersama Parti Amanah Negara yang belot terhadap perjuangan parti itu.

    Katanya, bekas pemimpin PAS yang berada dalam parti serpihan menjadi halangan terbesar kepada PAS untuk bersama dengan gabungan pakatan pembangkang dalam menghadapi PRU-14.

    "Saya tidak fikir pemimpin besar pakatan pembangkang seperti Dr Mahathir, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng atau Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuang pemimpin Parti Amanah Negara kerana mereka memerlukan parti serpihan PAS itu dalam gabungan pakatan pembangkang.

    "Mereka juga tahu bahawa pemimpin Parti Amanah Negara tidak akan bekerjasama dengan PAS walau dalam apa bentuk kerjasama pun," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M, Pemimpin PAN Menepati Istilah 'Pemimpin Penyangak' "