• Tukar sistem amaran cuaca

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan menukar sistem amaran cuaca
    kaedah warna kepada bertulis untuk memudahkan sistem penyampaian maklumat.

    Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata ia bagi memastikan masyarakat bersedia lebih

    awal sebelum kejadian tidak diingini berlaku seperti hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.

    Katanya, sistem amaran ketika ini kurang difahami dan tidak sampai kepada kumpulan sasar terutama di luar bandar.

    Beliau berkata, pihak media bersetuju memberikan keutamaan menyiarkan amaran yang

    dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD).

    "MMD sudah mengadakan perbincangan dengan pihak media bagi memastikan penyebaran maklumat

    amaran ini dapat disampaikan secara optimum.

    "Kita harap masyarakat luar bandar dapat bersedia lebih awal jika keadaan memerlukan.

    "Laman web kami sering mengalami gangguan apabila menerima jumlah akses tinggi dan MMD akan meningkatkan keupayaannya," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong)

    pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Noraini meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan sejauh mana kementerian melihat

    permulaan Monsun Timur Laut sebagai fenomena yang berupaya mengakibatkan banjir besar atau bencana alam dalam tempoh sekarang hingga Mac depan.

    Madius berkata, kementerian akan menukar sistem pemantauan hujan iaitu 'kuning' merujuk kepada hujan lebat dalam tempoh sehari hingga tiga hari kepada 'waspada', 'jingga' (hujan lebat berterusan) kepada 'cuaca buruk' dan 'merah' iaitu hujan lebat berterusan melebihi 240 milimeter sehari kepada 'bahaya'.

    Menjawab soalan asal Noraini, Madius berkata, berdasarkan analisis cuaca jangka panjang, MMD menjangkakan negara menerima jumlah hujan normal kerana tiada faktor atmosfera mempengaruhi corak monsun sehingga Mac depan.

    Dalam tempoh itu, katanya, negara dijangka menerima empat hingga lima kali ganda hujan lebat yang

    boleh membawa banjir besar.

    Beliau berkata, rekod pencerapan MMD di negeri Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak akan

    menerima jumlah hujan tinggi, menyebabkan banjir ketika Monsun Timur Laut.

    "MMD juga menggerakkan pasukan bilik gerakan apabila amaran dikeluarkan bagi memastikan

    pemantauan lebih berkesan dan mengelak kegagalan ke atas sistem pemantauan serta penyampaian.

    "Di peringkat negeri, taklimat tinjauan cuaca disampaikan kepada agensi pengurusan bencana masing-masing bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut," katanya.-BHOnline



    Subjects:

  • No Comment to " Tukar sistem amaran cuaca "