• Tubuh Makmal Kaji Permasalahan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Rohani

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan akan mewujudkan makmal bagi menyelesaikan permasalahan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata jawantakuasa melibatkan pelbagai kementerian, jabatan serta agensi itu akan melihat pelbagai aspek yang boleh ditambah baik bagi membentuk kanak-kanak dari peringkat awal.

    Beliau berkata, antara pihak yang dijangka terbabit termasuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan.

    "Kami nak selaraskan bukan sahaja dari segi gaji tetapi juga dari segi standard, SOP semua nak selaraskan.

    "Ada akta di kementerian saya, ada akta di kementerian lain sebab itu perlu diselaraskan seterusnya dapat masuk kepada topik seperti gaji dan sebagainya," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Program eUsahawan dan eRezeki Sarawak di Dewan Suarah Samarahan, di sini hari ini.

    Rohani berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya guru tadika dan prasekolah kerajaan serta swasta perlu diberi skim gaji khas.

    Mengulas lanjut, Rohani berkata skim gaji khas itu adalah antara perkara diusulkan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara minggu lepas.

    "Kita nak selaraskan bukan sahaja dari segi gaji tetapi juga dari segi standard, SOP semua nak selaraskan. Sebenarnya dalam pendidikan awal kanak-kanak memang sudah disarankan cikgu atau pengasuh ini sebenarnya kalau ikut kurikulum Permata Negara mempunyai sekurang-kurangnya diploma.

    "Tetapi yang disarankan dalam Majlis Sosial Negara malah hingga peringkat ijazah dan ke atas, kami mahu mereka yang profesional bukan nak kata sekarang tidak profesional tetapi anak-anak ini adalah acuan yang pertama, dari acuan pertama inilah terhasil generasi akan datang," katanya.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Tubuh Makmal Kaji Permasalahan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Rohani "