• Tubuh Jawatankuasa Khas Pantau Kehilangan Hasil Laut

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas menghimpunkan semua agensi penguatkuasaan maritim perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan isu rasuah membabitkan anggota pihak berkuasa serta ketirisan hasil laut negara.

    Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor), berkata jawatankuasa itu perlu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.

    Jawatankuasa itu, katanya, untuk memperkukuhkan fungsi dan penugasan sedia ada termasuk operasi penguatkuasaan agensi maritim, di samping membolehkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksana bagi merapatkan jurang antara agensi terbabit.

    "Kita juga mahu tahu berapa kekuatan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dari segi infrastruktur dan kekuatan dari segi logistik terutama dalam memerangi elemen ketirisan ini," katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), berkata, laporan mengenai penguat kuasa maritim menerima rasuah daripada nelayan asing begitu dikesali dan mendukacitakan.

    "Ini harus ditentang kerajaan dan pujian mesti diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya melaksanakan Ops Armada baru-baru ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, Jimmy Wong Sze Phin (DAP-Kota Kinabalu) mencadangkan sistem komunikasi diperkukuh membabitkan semua agensi maritim seperti dilakukan agensi di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

    "Nelayan asing masih masuk sempadan kita. Saya ingin tahu apa tindakan akan diambil oleh kerajaan supaya mereka tidak lagi berani masuk. Jika kita tidak lakukan tindakan drastik, masalah ini tidak akan diselesaikan," katanya.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa sejumlah 980 tan hasil ikan laut begitu mudah untuk dilesapkan oleh nelayan asing, sehingga menyebabkan negara kehilangan berbilon ringgit.

    "Mengapa pihak berkuasa seperti tidak tahu siapa curi ikan kita, kenapa pencuri ini tidak dapat ditangkap. Di manakah nelayan haram ini duduk lama di perairan kita, mendapatkan bekalan minyak dan keperluan makanan.

    "Siapa yang bekalkan mereka makanan dan bahan api, apakah perkara ini disiasat. Apakah juga denda dikenakan termasuk kepada kapten kapal? Berapa kapten yang sudah ditangkap dan didenda atau kapten sebenarnya sudah hilang.

    "Sekiranya penalti dikenakan terlampau sedikit, saya risau nelayan asing ini main-main saja dengan pihak berkuasa kita," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tubuh Jawatankuasa Khas Pantau Kehilangan Hasil Laut "