• Trump Puji Najib Berjaya Selaras Dialog Hubungan ASEAN-Amerika

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+
    MANILA, 13 Nov (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan tugas cemerlang beliau ketika melaksanakan peranan Malaysia sebagai penyelaras negara dalam Dialog Hubungan ASEAN-Amerika.

    Dalam ucapan ringkas beliau pada Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun ke-40 ASEAN-Amerika di sini, Trump berkata Najib menjalankan tugasnya dengan baik.

    "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri Najib kerana tugas cemerlang yang tuan laksanakan sebagai penyelaras. Saya amat menghargainya...saya sangat hargai, tuan menyelaraskan begitu baik dengan kami," katanya.

    Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memberitahu media Malaysia pada Sabtu, bahawa Najib, selaku penyelaras negara bagi dialog hubungan meliputi tempoh 2015-2018, akan membentangkan laporan berkaitan kemajuan penting yang dicapai sepanjang 40 tahun yang lalu dan hala tuju masa depannya.

    Kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama seperti Laut China Selatan, Semenanjung Korea, Memerangi Keganasan dan Keganasan Melampau serta Ekonomi Digital Siber pada Sidang Kemuncak itu.

    Pada Sidang Kemuncak ASEAN pada 2015, pemimpin serantau dan Presiden Barack Obama yang menghadiri persidangan di Kuala Lumpur, menerima pakai Pelan Tindakan untuk melaksanakan lima bidang kerjasama yang menjadi keutamaan - integrasi ekonomi, kerjasama maritim, cabaran rentas sempadan termasuk perubahan iklim, peneraju baharu dan peluang bagi wanita. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Trump Puji Najib Berjaya Selaras Dialog Hubungan ASEAN-Amerika "