• Transformasi KPT sejajar Industri 4.0

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan melaksanakan lebih banyak transformasi pendidikan tinggi sejajar Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang berlaku di peringkat global.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata sejak dua tahun lalu kementerian melakukan reka bentuk sistem pendidikan tinggi bertepatan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

    Katanya, antara yang dilakukan adalah memperkenalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) dan Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti (CEO) atau CEO@Fakulti di Universiti Awam (UA).

    Beliau berkata, program iCGPA dan CEO@Fakulti yang mula dikenali di peringkat antarabangsa hanya dilaksanakan di negara ini dan menarik perhatian negara lain.

    "PPPM 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang selaras Industri 4.0 sudah mula membuahkan hasil apabila 10 penyelidik kita diiktiraf bertaraf antarabangsa tahun ini berbanding lapan orang tahun lalu.

    "Inilah yang dinamakan peningkatan berterusan atau 'Soaring Upward' dan kita tidak takut melakukan transformasi berterusan demi kepentingan graduan agar bertaraf antarabangsa sejajar Industri 4.0," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Pendidikan (MyHEF) 2017: Mereka Bentuk Pendidikan Untuk Industri 4.0," di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

    Industri 4.0 mencakupi teknologi automasi yang memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini serta memerlukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

    Dalam pada itu, Idris yakin negara mampu melahirkan graduan berkualiti dan memenuhi pasaran industri dengan mereka bentuk sistem pendidikan dalam Industri 4.0.

    Katanya, kementerian akan menilai secara terperinci cadangan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa seperti Bank Dunia bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai.

    Beliau berkata, kementerian juga akan melakukan persiapan dengan mengenal pasti kelemahan bagi melakukan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti inovasi dan automasi seiring perkembangan teknologi.

    "Rangka kerja dan tindakan ini begitu baik demi masa depan untuk memenuhi keperluan semasa kerana kita memerlukan institusi pendidikan tinggi lebih fleksibel dan bersedia untuk melahirkan generasi masa depan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Transformasi KPT sejajar Industri 4.0 "