• TPM Lancar Ekspedisi Penjelajahan Grand Slam

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+
    PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 ke Titik Kosong Darjah, Kutub Selatan di Bangunan Perdana Putra di sini.

    Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin, ikon sukan lasak negara, akan membawa nama Malaysia bagi memperolehi pengiktirafan di peringkat dunia sebagai Penjelajah Grand Slam, iaitu individu yang berjaya menamatkan siri cabaran pendakian di tujuh puncak tertinggi di Tujuh Benua Dunia, penjelajahan Kutub Utara dan penjelajahan Kutub Selatan.

    Jika berjaya, beliau akan menjadi rakyat Malaysia pertama, orang Islam ketiga dan termuda di dunia menyertai 70 penjelajah terawal yang telah diiktiraf oleh badan eksplorasi sebagai Explorers Grand Slam atau Penjelajah Grand Slam.

    Muhammad Muqharabbin dijadual berlepas ke Punta Arenas, Chile pada 15 Dis sebelum memulakan misi eksplorasi pada 19 Dis dan dijangka menamatkan penjelajahan sejauh 110 kilometer selewat-lewatnya pada 27 Dis.

    Ahmad Zahid dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu percaya Muhammad Muqharabbin mampu membawa pulang pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam sekaligus menjadi ikon dan motivasi kepada generasi muda, khususnya kelompok Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    "Kita mahu menjelang 2050, ada lagi 20 Muqharabbin dilahirkan dan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam dengan beliau sendiri menjadi pencetusnya,\" katanya yang turut megumumkan sumbangan RM100,000 untuk misi tersebut.

    Ahmad Zahid, yang mengikuti perkembangan pendaki itu sejak 10 tahun lalu, berkata tiga elemen utama yang dimiliki anak muda itu iaitu kekuatan mental, emosi dan kerohanian mampu meletakkannya sebaris dengan 70 penjelajah terawal yang diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam.

    Sementara itu, Muhammad Muqharabbin berkata beliau optimis mampu menamatkan penjelajahan tersebut dalam tempoh yang ditentukan.

    Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberinya peluang untuk mencipta sejarah sebagai Penjelajah Grand Slam pertama negara.

    "Walaupun bakal berdepan keadaan cuaca sejuk ekstrem dan perlu berski sejauh 25 kilometer setiap hari, saya sudah bersedia sepenuhnya dari segi emosi dan fizikal bagi menjayakan penjelajahan ke Titik Kosong Darjah Kutub Selatan itu," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " TPM Lancar Ekspedisi Penjelajahan Grand Slam "