• Toyota Jual Robot Sama Cerdik Macam Budak 5 Tahun

    Published: Saturday, 25 November 2017
    A- A+

    TOKYO: Bagi yang sering kesunyian, Toyota Jepun memperkenalkan sebuah robot yang diharap boleh menjadi teman setia anda. Ia baru-baru ini mula dijual di pasaran, menurut laporan AsiaOne.

    Dengan kebolehan menyimpan maklumat tentang cita rasa unik anda dan juga maklumat tentang persekitaran si pemiliknya, robot bernama Kirobo Mini itu boleh berbual dan bertindak berdasarkan perasaan anda sendiri.

    Sememangnya, ia direka oleh pengeluar automotif terbesar Jepun itu khusus untuk menjadi pendamping manusia termasuk mampu menaikkan kedua-dua belah tangannya sendiri apabila mengesan muka yang tersenyum ceria.

    Berukuran hanya 10 sentimeter, Kirobo Mini cuma sebesar tapak tangan manusia lantas boleh dibawa anda ke mana-mana sahaja dengan mudah malah dapat disimpan dalam beg kerana tidak memerlukan ruang yang luas.

    Berharga sekitar 43,500 yen (kira-kira RM1,600), robot saiz mini berkenaan juga dipercayai mempunyai tahap kecerdikan seumpama seorang budak normal yang berusia lima tahun, menurut laporan media tempatan.

    Kirobo Mini yang dilengkapi kamera, mikrofon dan Bluetooth, pernah diiktiraf Guinness World Record sebagai robot pertama jadi teman angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa pada 2013. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Toyota Jual Robot Sama Cerdik Macam Budak 5 Tahun "