• Tolonglah Jangan Mandi, Bendera Merah Dah Naik

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    Orang ramai yang berkunjung ke pantai peranginan di Mersing, Johor, diingatkan mematuhi tanda amaran dan larangan berikutan keadaan ombak besar sekarang.

    Ketua Polis Mersing, Deputi Superintenden Cyril Edward Nuing, berkata pengunjung hendaklah mematahui arahan bendera merah dan amaran papan tanda yang melarang orang ramai mandi berikutan ombak besar apabila musim tengkujuh mula tiba.

    "Daripada maklumat dan pemerhatian polis, kita dapati masih ada yang degil dan tidak mematuhi amaran dan larangan mandi di pantai berikutan ombak besar ketika ini.

    "Orang ramai yang berkunjung ke pantai peranginan seperti Pantai Air Papan perlu sentiasa peka dengan keadaan ombak dan amaran bagi mengelak menjadi mangsa lemas," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Tinjauan di Pantai Air Papan mendapati orang ramai masih mandi tanpa menghiraukan amaran bendera merah.

    Papan tanda melarang mereka mandi juga tidak diendahkan apabila dilihat lebih 100 orang termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa mandi di pantai itu.

    Penduduk, Mohamad Ismail, 35, berkata sepatutnya orang ramai tidak mandi kerana keadaan ombak yang besar boleh mengundang sebarang kemungkinan tragedi.

    “Pihak berkuasa meletakkan papan tanda larangan dan bendera amaran bukan untuk suka-suka, ada sebabnya dan ia perlu dipatuhi untuk keselamatan pengunjung terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tolonglah Jangan Mandi, Bendera Merah Dah Naik "