• Tindakan Protes Tidak Akan Selesaikan Masalah NCR - Uggah

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tindakan protes yang bakal dibuat oleh pemilik tanah adat (NCR) tidak akan menyelesaikan apa-apa permasalahan.

    Memetik laporan DayakDaily, mereka yang terlibat akan mengadakan demonstrasi aman di Bangunan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 7 Nov dan di luar Kompleks Dewan Undangan Negeri pada 13 Nov semasa Persidangan DUN.

    "Ini adalah negara demokrasi dan mereka berhak untuk menyatakan ketidakpuasan mereka tetapi pada masa yang sama mereka perlu faham bahawa kerajaan negeri sedang mencari jalan penyelesaian.

    "Penyelesaian hanya akan selesai melalui dialog dan perbincangan. Ia memerlukan masa. Kerajaan melihat isu ini dari pelbagai sudut. Kita tidak boleh tergesa-gesa dalam menyelesaikan masalah ini," katanya

    Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menegaskan kerajaan negeri juga amat komited untuk mencari jalan penyelesaian mengenai definisi Pemakai Menoa dan Pulau Galau supaya ia boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat terutamanya kaum Dayak.

    "Kita perlu mencari satu definasi yang boleh diterima oleh semua orang.

    "Kami mengalu-alukan sebarang cadangan atau idea yang membina dari sesiapa sahaja. Kami terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan cadangan. Datanglah untuk membincangkan isu ini bersama kami," ujarnya.

    Beliau menambah ini adalah cabaran terbesar yang dihadapi oleh Jawatankuasa Pemakai Menua dan Pulau Galau.

    "Saya berharap pemilik tanah NCR akan tetap rasional, sabar dan tenang sementara kerajaan negeri sedang mencari cara terbaik untuk menentukannya" katanya. - Sarawakiana

  • No Comment to " Tindakan Protes Tidak Akan Selesaikan Masalah NCR - Uggah "