• Timbalan pengarah 'dijerat' rasuah

    Published: Saturday, 4 November 2017
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, malam tadi menahan seorang timbalan pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah.

    Menurut sumber SPRM, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 malam tadi selepas dipercayai bersubahat meminta dan menerima suapan daripada pengurus projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

    Suspek disyaki menerima rasuah berjumlah RM8,000 daripada pengurus projek berkenaan menerusi seorang pegawai kanan yang sudah direman, Rabu lalu.

    Rasuah bertujuan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemasangan mesin angkat tanpa kebenaran pihak sewajarnya.

    Dalam serbuan malam tadi, pasukan penyiasat menggeledah tiga lokasi berbeza dan menemui wang tunai berjumlah RM40,400 dan SG$1,613 (RM5,000).

    Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.

    Rabu lalu, SPRM menahan seorang penolong pengarah dari jabatan sama di sebuah hotel di bandar raya ini, kira-kira jam 2.40 petang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM30,000.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Timbalan pengarah 'dijerat' rasuah "