• Tiga suspek kes kematian seorang wanita di billik sewa pada 5 Oktober lalu ditahan

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    KLANG - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dengan kes kematian seorang wanita warga Indonesia di sebuah bilik sewa di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini pada 5 Oktober lalu.

    Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun itu ditahan semalam di tiga lokasi berbeza iaitu di Seremban, Negeri Sembilan, Temerloh, Pahang dan Pelabuhan Klang di sini.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 pagi di sebuah pondok pengawal di sebuah pasar raya di Seremban 2, Negeri Sembilan.

    Menurutnya, suspek tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan jenayah kekerasan serta dadah dan pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah telefon bimbit miliknya.

    "Suspek kedua yang juga seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan disebuah rumah di Jalan Chungah Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 3 pagi. Suspek wanita yang juga teman wanita kepada suspek pertama di tahan di sebuah rumah di Kampung Pian, Temerloh, Pahang kira-kira pukul 8 pagi.

    "Siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek ini mendapati suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah lampau. Selain itu, kita turut menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa bersama suspek ketiga,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Shamsul Amar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku apabila suspek pertama marah dengan tindakan mangsa yang juga jirannya kerana telah memarahi anak teman wanitanya (suspek ketiga).

    "Bagaimanapun, siasatan kita terhadap suspek kedua pula dia tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut dan hanya mengenali suspek pertama.Kita juga akan menyiasat sama ada mangsa turut menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh berdasarkan penemuan air mani pada badan mangsa.

    "Ketiga-tiga suspek kini telah ditahan reman sehingga 9 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,"ujarnya.

    Kosmo! pada 7 Oktober lalu melaporkan seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan terlentang tanpa pakaian dalam sebuah bilik sewa di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini.

    Dalam kejadian pada 5 Oktober itu, mayat mangsa yang berusia 43 tahun dan bekerja di sebuah kilang dijumpai rakan baiknya dengan kesan jerut menggunakan tali kasut kira-kira pukul 6.33 petang. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga suspek kes kematian seorang wanita di billik sewa pada 5 Oktober lalu ditahan "