• Tidak Tepati Pasaran Pekerja, Ramai Belia Melayu Menganggur

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    Kementerian Sumber Manusia telah mengesan dan mengenal pasti punca kegagalan para belia Melayu gagal menempatkan diri mereka ke dalam pasaran kerja di negara ini.

    Timbalan Menterinya Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, antara punca ramai belia Melayu yang menganggur adalah kebolehan potensi diri yang tidak menepati pasaran kerja di dalam negara ini.

    Lantaran itu menurutnya, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara besar-besaran September lalu adalah untuk membantu pelajar khususnya orang Melayu yang tidak berjaya di bidang akademik memiliki kemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga mahir di sektor pekerjaan dalam negara.

    “Hari ini persepsi masyarakat telah berubah dan tidak memberi tumpuan kepada kejayaan anak di peperiksaan akademik. Anak-anak yang tidak berjaya dalam bidang akademik boleh berjaya dan mempunyai masa hadapan cerah dengan TVET.

    “Menerusi TVET kita akan dapat melahirkan tenaga kerja mahir dalam meningkatkan upskilling, risk scaling dan memberi peluang kepada kepada yang tidak berjaya dalam bidang akademik di bidang kemahiran tinggi yang amat diperlukan negara,” jelasnya.

    Ismail berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, Isnin.

    Ahmad bertanyakan sejauh manakah kebenaran bahawa golongan di bawah umur 30 tahun adalah golongan paling ramai menjadi pengganggur dan apakah langkah kerajaan untuk mengatasi masalah berkenaan.

    Sementara itu, Ismail menjelaskan jumlah penggangguran di Malaysia pada suku kedua 2017 adalah 3.4 peratus atau 511,600 orang yang menganggur kerana pelbagai sebab.

    “Kementerian masih berusaha bersungguh-sungguh mengatasi masalah ini.

    “Pelbagai program telah dilaksanakan seperti mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan majikan mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja,” katanya.

    Dalam masa sama Ismail berkata, jumlah pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor di negara pada tabun 2017 adalah seramai 1.7 juta orang.

    Katanya, kementeriannya berjaya dikurangkan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 1.9 juta orang.

    “Penurunan ini kerana dasar kerajaan dalam memastikan majikan mengambil pekerja asing tidak melebih 15 peratus dan mempromosikan penggunaan pekerja tempatan.

    “Menggalakan sektor-sektor menggunakan tenaga buruh lebih banyak menggunakan mekanisasi dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan buruh asing,” katanya menjawab soalan asal Ahmad. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Tidak Tepati Pasaran Pekerja, Ramai Belia Melayu Menganggur "