• Tiada SOP larangan bertudung

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR 16 Nov. - Tidak ada prosedur operasi standard (SOP) meminta pekerja wanita menanggalkan tudung atau melarang mereka yang bertudung bekerja di barisan hadapan dalam sektor perhotelan di negara ini.

    Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, SOP itu sebenarnya sengaja diada-adakan oleh pihak yang disifatkan kurang ajar dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan serta mahu mencabar kebebasan beragama di negara ini.

    “Hina sangatkah wanita bertudung? Sebagai negara Islam, kerajaan boleh meletakkan syarat untuk semua pekerja di hotel mengenakan tudung terutamanya di bahagian hadapan jika kami mahu, tetapi kami tidak laksanakan perkara itu.

    “Namun, mereka pula yang berani mencabar dan mengenakan syarat tidak masuk akal. Jika benar ada, mereka sememangnya tidak layak beroperasi di negara ini,” tegasnya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu VGI Global Group yang menguruskan sistem pengiklanan di Transit Aliran Massa (MRT) dalam mempromosikan MRT sebagai salah satu produk pelancongan negara di sini hari ini.

    Semalam, Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan hotel.

    Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

    Nazri berkata, jika ada mana-mana hotel melakukan tindakan sedemikian, kementerian akan mengambil tindakan tegas dan menarik balik lesen mereka melalui undang-undang berkaitan termasuk Akta Pekerja.

    Beliau turut meminta mereka yang berhadapan dengan situasi seperti itu melaporkan kepada pihak kementerian atau polis agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak terbabit.

    Tambahnya, buat masa ini, kementerian masih belum menerima laporan daripada mana-mana mangsa.

    “Jika mereka (pengusaha hotel) berani mencabar kerajaan dan perlembagaan, mereka tidak layak untuk berada di sini dan pastinya tindakan tegas akan diambil. Kami akan pastikan perkara seumpama ini tidak berlaku di negara ini,” tegasnya.

    Sementara itu, Nazri berkata, MRT kini sudah menjadi salah satu produk pelancongan dan bukan sebagai pengangkutan awam semata-mata terutamanya kepada pelancong daripada luar negara.

    Menurutnya, pelancong me­ngagumi pelbagai seni bina yang ada di stesen MRT selain tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sepanjang perjalanan dari satu stesen ke stesen lain.

    Tambahnya, kementerian akan membuat peta perjalanan pelancongan dengan MRT untuk pelancong dari dalam dan luar negara seperti tempat makan menarik, lokasi menarik dan sebagainya.

    “MRT kini menjadi produk pelancongan seperti di London yang berperanan besar bagi mempromosikan pelancongan dalam bandar selain MRT itu sendiri yang menarik pelancong ke negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada SOP larangan bertudung "