• Tiada Rokok ‘Kiddie Pack’!

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+



    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan pada Rabu sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali menyokong langkah penjualan rokok ‘kiddie pack' atau pek mini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, penjualan rokok “kiddie pack” yang mengandungi kuantiti kurang daripada 20 batang dan lebih murah hanya akan menarik lebih ramai perokok terutamanya remaja.

    “Kementerian memandang serius amalan merokok di negara ini yang merupakan faktor risiko kepada pelbagai masalah kesihatan dan kematian pra-matang.

    “Larangan penjualan rokok ‘kiddie pack' adalah untuk membendung masalah penggunaan rokok dalam kalangan remaja,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) berhubung perkara tersebut pada sesi soal jawab.

    Dr Hilmi berkata, negara Asean lain juga mengambil langkah melarang pembungkusan rokok dalam pek mini dan sehingga kini hanya empat negara di rantau ini masih belum melaksanakan kawalan tersebut iaitu Thailand, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

    Menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) mengenai keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok dalam kalangan remaja, Dr Hilmi berkata, satu cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan produk tembakau kini sedang diteliti Jabatan Peguam Negara (AG).

    Beliau berkata, cadangan menaikkan had umur membeli dan menjual rokok dari 18 kepada 21 tahun akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat penelitian daripada AG. - Bernama


    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Rokok ‘Kiddie Pack’! "