• Tiada Pelepasan Air Berlebihan Di Empangan Hidro TNB Perak

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+


    IPOH: Tiada pelepasan air berlebihan berlaku di mana-mana empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

    Beliau berkata berdasarkan laporan pengurusan TNB Stesen Janakuasa Sungai Perak yang diterima, pelepasan air dijalankan adalah secara normal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

    "Pelepasan (arus) air itu memang perkara biasa dan mereka akan kemas kini dan beritahu dari semasa ke semasa.

    "Cuma saya minta berjaga-jaga sebab masa ini keadaan cuaca buruk walaupun ketika ini paras air empangan masih jauh daripada paras bahaya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

    Pada masa ini, banjir melanda Lawin dan Lenggong di daerah Hulu Perak.

    Zainol Fadzi menjelaskan paras Empangan Tasik Temenggor di Banding kini adalah 239.26 meter, masih di paras normal manakala paras air di Sungai Perak di Kuala Kenderong, Gerik adalah 111.80 meter, berbanding tahap kritikal 112.50 meter.

    Beliau turut memberi jaminan TNB sentiasa bersedia bagi keadaan tertentu untuk memberi makluman dan bekerjasama dengan semua pihak.

    Justeru, beliau berharap orang ramai hentikan tular berita berkaitan pelepasan air berlebihan kerana laporan itu tidak benar dan hanya menimbulkan panik terhadap masyarakat setempat.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Pelepasan Air Berlebihan Di Empangan Hidro TNB Perak "