• Tiada Larangan Bertudung Dilaksanakan

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Hotel bertaraf antarabangsa, Parkroyal Kuala Lumpur tidak menafikan wujud polisi hotel antarabangsa yang melarang pekerja wanita bertudung ketika menjalankan tugas.

    Penolong Pengarah Pemasaran Komunikasinya, Warren Fernandez juga tidak menolak kebanyakan hotel bertaraf lima bintang yang beroperasi di negara ini turut melaksanakan polisi tersebut.

    “Boleh dikatakan kebanyakan hotel mahu mengekalkan imej antarabangsa dengan mengamalkan polisi berkenaan.

    “Bagaimanapun, keadaan kini sudah berubah seiring peredaran masa di mana kita dapat lihat masyarakat kini lebih menitik beratkan agama dan seharusnya ia perlu dihormati,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Bercakap mengenai polisi hotel yang diamalkan di Parkroyal, Warren menjelaskan pihaknya tidak pernah meletakkan syarat kepada pekerja.

    “Di sini, kita mula sedar mengenai perkara yang melibatkan budaya dan agama. Wanita yang bertudung juga berkebolehan besar dan mampu menjadi pekerja yang berwibawa.

    “Jadi, ia adalah satu tindakan diskriminasi sekiranya individu itu tidak diambil bekerja hanya disebabkan penampilannya bertudung,” katanya.

    Menurut Warren, meskipun pada awalnya Parkroyal pernah mengamalkan polisi yang melarang pekerjanya bertudung, namun situasi berubah apabila lebih terbuka mengenai budaya dan amalan masyarakat Islam di negara ini.

    “Saya akui kini Parkroyal sudah mula terbuka sedikit demi sedikit mengenai hal ini. Cuma sekarang, pekerja wanita kami yang berada di kaunter hadapan kebanyakannya memang memilih untuk tidak bertudung.

    “Tapi sekiranya mereka berniat untuk bertudung, ia tidak menjadi masalah,” katanya.

    Beliau berkata, ketua jabatan perhubungan awam di setiap hotel dilihat perlu memainkan peranan memberi kefahaman kepada pengurusan atasan mengenai budaya dan agama diamalkan masyarakat di negara ini.

    “Seperti yang kita tahu, kebanyakan pihak pengurusan atasan hotel termasuk di Parkroyal bukanlah mereka yang beragama Islam dan berasal dari luar. Jadi sudah tentu mereka tidak faham isu seperti ini.

    Berhubung saranan kerajaan mengenai isu larangan bertudung ini, beliau berkata, Parkroyal akan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan dan pada masa sama mencadangkan kerajaan lebih tegas menangani isu ini.

    “Bagi prinsip Parkroyal, sebarang perkara yang ditentukan oleh kerajaan, kita patuhi. Kalau kerajaan kata, lesen akan ditarik sekiranya hotel melarang pekerja bertudung, maka kita akan ikut dan berubah secara berperingkat.

    “Bagi kami, tidak mustahil isu seperti ini akan dapat diselesaikan namun kerajaan perlu lebih bertindak tegas dan secara berterusan,” katanya.- Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Larangan Bertudung Dilaksanakan "