• Tiada Kompromi Bagi Anggota Polis Terlibat Dadah

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+


    JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah berkaitan dadah.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mana-mana anggota dan kakitangan yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang serta-merta selain diberhentikan.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes sebegini. Bagaimana kita nak mempercayai mereka untuk memerangi dadah kalau mereka sendiri yang ambil dadah?

    “Hasil siasatan kami mendapati anggota yang melakukan kesalahan ini mengambil dadah berikutan tekanan kerja, ada juga yang terlibat dengan aktiviti tersebut kerana mahukan kehidupan yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Persatuan Penduduk bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Johor, di sini hari ini.

    Tambahnya, bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan, KDN telah mengambil langkah untuk menjalankan latihan dan ujian yang secukupnya sama ada dalam pengambilan kakitangan dan anggota baharu ataupun yang sedia ada.

    “KDN melaksanakan pelbagai ujian termasuk ujian psikologi sejak peringkat kemasukan hingga kepada anggota yang sedia ada sebagai contoh, sekiranya mereka dinaikkan pangkat, mereka perlu menjalani ujian terlebih dahulu bagi memastikan keadaan mereka,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Nur Jazlan juga memaklumkan bahawa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) akan bergiat lebih aktif terutamanya dalam memerangi penyebaran dan penggunaan dadah dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta.

    Beliau yang juga Yang Dipertua Pemadam berkata pihaknya kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan IPTA bagi menggerakkan persatuan berkenaan dalam usaha menangani jenayah berkenaan.

    “Kami mahu menubuhkan kelab Pemadam di peringkat IPTA kerana pengedar dadah ini menyasarkan golongan belia sebagai mangsa.

    “Hasil siasatan kami mendapati trend pasaran kini menjual dadah moden jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) dan New Psychoactive Substances (NPS) terdiri daripada ekstasi, amphetamin dan lain-lain kepada golongan ini,” jelasnya.

    Tambahnya, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan IPTS dalam tempoh terdekat bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengekang penyebaran aktiviti tidak bermoral itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Kompromi Bagi Anggota Polis Terlibat Dadah "