• Tiada Keputusan Mengenai Velodorm Rakyat

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+



    KUALA LUMPUR – Anggota Lembaga Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Datuk Amarjit Singh Gill hari ini menafikan bahawa terdapat perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI di Guilin, China, minggu lepas mengenai Velodrom Rakyat, yang diarah dirobohkan.

    Amarjit yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata pada mesyuarat tersebut, tiada dibincangkan langsung mengenai velodrom berkenaan.

    “Malah, saya amat terkejut siapa, bagaimana dan dari manakah sumber maklumat berhubung arahan itu yang diberikan Jawatankuasa Pengurusan UCI.

    “Sekiranya ada keputusan mengenai berbasikal Asia dan lebih-lebih lagi Malaysia, saya orang pertama akan berunding dan dimaklumkan. Berita itu tidak benar bahawa Jawatankuasa Pengurusan UCI memberikan sebarang arahan mengenai perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Amarjit berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa UCI mengarahkan Velodrom Rakyat di Ipoh, dirobohkan kerana gagal mengikut spesifikasi pembinaan yang ditetapkan badan induk berbasikal dunia itu.

    Bagaimanapun mengenai isu ‘homologation’ oleh UCI, proses berkenaan masih berjalan dan jika pegawai teknikal UCI ingin membuat beberapa cadangan, mereka dialu-alukan, katanya.

    Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawaian UCI, sekali gus membolehkan sebarang kejohanan antarabangsa diadakan dan rekod dilakukan pelumba diiktiraf.

    “Berhubung isu acara trek berbasikal akan digugurkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tahun depan, saya ingin menjelaskan bagi kejohanan peringkat kebangsaan acara trek, hanya memerlukan homologation daripada Persekutuan Kebangsaan iaitu PKBM. Justeru, tidak timbul sama sekali acara trek berbasikal pada Sukma 2018 akan digugurkan,” katanya.

    Pada 2016, Velodrom Rakyat diberi peruntukan sebanyak RM11 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi membaik pulih kerosakan pada 250 meter trek kayu velodrom berkenaan.

    Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai.

    Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991 (ACC 1991). – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Keputusan Mengenai Velodorm Rakyat "