• Tiada Bukti Dr Zakir Naik Galak Keganasan - TPM

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada bukti menunjukkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik, menggalak atau mempromosi keganasan menerusi ceramahnya di luar atau dalam negara.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap semua kandungan ceramah Zakir juga tidak menemui bukti penceramah terbabit melanggar undang-undang negara.

    Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan tidak berhasrat menarik balik status Pemastautin Tetap (PR) yang diberikan kepada penceramah bebas itu, walaupun ada pihak di negara ini mempertikai kewajaran pemberiannya.

    "Bagaimanapun KDN tetap memantau semua aktiviti dan kandungan ceramah Zakir, di mana beliau berada serta tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk membatalkan status PR jika terbabit dalam aktiviti keganasan atau melanggar undang-undang," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengenai keistimewaan diberikan kepada Zakir sehingga mendapat status PR oleh Kerajaan Malaysia.

    Yang turut mempersoal kewajaran dan keistimewaan Zakir diberikan status PR ialah Lee Boon Chye (PKR-Gopeng), VN Sivakumar (DAP-Batu Gajah) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

    Ahmad Zahid berkata, tiada keistimewaan diberikan kepada Zakir dalam pemberian status PR kepadanya, sebaliknya diberikan selepas permohonannya mengikuti prosedur ditetapkan iaitu mempunyai permit masuk Malaysia daripada Jabatan Imigresen.

    "Bagi mendapatkan PR, fasih Bahasa Melayu bukan menjadi syarat utama. Syarat fasih Bahasa Melayu adalah untuk memohon kewarganegaraan Malaysia. PR beliau juga diberikan sebelum pasport miliknya ditarik balik kerajaan India.

    "Dalam soal Zakir mengkritik agama lain, kami di KDN sudah meneliti semua video dan melakukan transkrip ucapannya, tiada satu pun yang menggalakkan keganasan. Ia hanya interpretasi daripada tokoh tertentu di luar," katanya.

    Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan, sehingga kini tiada permohonan rasmi dikemukakan kerajaan India kepada Malaysia untuk mengekstradisi Zakir. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Bukti Dr Zakir Naik Galak Keganasan - TPM "