• Thailand Larang Merokok Di Pantai

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Kerajaan Thailand menguatkuasakan perintah larangan merokok di semua pantai terkenal di sekitar negara terbabit, bermula Rabu lalu.

    Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Mohd Afandi Abu Bakar, berkata perintah terbabit merangkumi semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang melancong ke negara berkenaan.

    "Larangan terbabit termasuklah Pantai Samilla dan Pantai Chalatat di Songkha yang menjadi destinasi ramai pelancong Malaysia.

    "Sekiranya ditangkap melakukan kesalahan terbabit, tindakan denda sebanyak THB 100,000 (RM12,784) atau penjara selama satu tahun," katanya yang dihubungi BH, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat atas namanya yang menasihatkan berkenaan dengan isu cuaca, larangan merokok di pantai dan larangan membawa atau menggunakan vapes kepada rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand.

    Mohd Afandi berkata, perintah yang sama turut diguna pakai bagi larangan penggunaan atau membawa masuk rokok elektronik (e-rokok) di seluruh negara itu, sejak September lalu.

    "Perintah terbabit diumum semula oleh Tourism Thailand bagi memberi ingatan kepada semua pelancong kerana peraturan terbabit sudah dikuatkuasakan sejak tahun 2014.

    "Keputusan terbabit turut merangkumi membawa masuk peralatan, cecair atau barang berkaitan e-rokok. Pesalah boleh dipenjarakan atau didenda beberapa kali ganda dari jumlah barangan yang dirampas," katanya.

    Ketika ditanya mengenai cuaca, Mohd Afandi berkata, keadaan cuaca di Thailand pada masa ini mula memasuki musim hujan lebat dan angin kencang serta berkemungkinan mengakibatkan banjir di beberapa wilayah di Thailand.

    Antara kawasan yang terlibat, Nakhon Si Thammarat, Phattalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Surat Thani dan Chumpon.

    "Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini dan memaklumkan pihak Konsulat Jeneral sekiranya terdapat bantuan yang diperlukan," katanya.

    Sebarang pertanyaan dan masalah, bolehlah menghubungi pihak konsulat di talian +(6674)311062 atau +(6674)316274. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Thailand Larang Merokok Di Pantai "