• Teroka Bidang Teknologi Untuk Majukan Ekonomi Digital Sarawak

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) perlu menerokai lebih banyak bidang teknologi maklumat (IT) untuk memajukan ekonomi digital Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, setiap universiti harus berani mewujudkan serta meneroka peluang kerja baharu khususnya dalam bidang teknologi maklumat sejajar dengan matlamat Sarawak memajukan ekonomi digital.

    “Sarawak kaya dengan pelbagai hasil dan sumber alam namun satu yang kita masih kekurangan ialah teknologi. Justeru, saya mahu teknologi berkaitan digital diberi keutamaan agar negeri kita dapat bersaing dalam dunia kian mencabar.

    “Justeru, kerajaan negeri membantu menyediakan peruntukan kepada Curtin di Senadin membangunkan jurusan teknologi maklumat (IT). Ini kerana IT sentiasa dekat di hati saya dan mahu bidang ini dimajukan,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong kesediaan universiti tempatan melengkapkan institusi mereka dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan.

    Bagaimanapun, katanya, jumlah peruntukan diberi akan dimaklumkan kemudian asalkan universiti itu mampu memenuhi kehendak kerajaan.

    Tambahnya, Sarawak begitu kaya dengan biodiversiti hutan dan alam sekitar yang masih belum didedahkan pakar tempatan dan memerlukan kajian mendalam.

    “Saya yakin Curtin Malaysia mampu merealisasikan impian kita untuk membangunkan teknologi digital ekonomi,” katanya. – Sarawakiana

  • No Comment to " Teroka Bidang Teknologi Untuk Majukan Ekonomi Digital Sarawak "