• Tanda Pagar #kitaok Legakan Peminat Zizan

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara popular, Zizan Razak, dipercayai cedera ringan selepas melakukan babak aksi dalam penggambaran filem terbaharu, Polis Evo 2, petang semalam.

    Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkongsi berita itu melalui status dan gambar yang dimuat naik pada akaun Instagram peibadinya, @zizanrazak869.

    "Jadi, nasihat Zizan kepada semua, tolonglah jangan ada cetak rompak lagi atau curi-curi rakam kerana bukan senang nak hasilkan sesebuah filem.

    "Hari ini, Zizan cedera dalam satu babak aksi. Doakan Zizan cepat sembuh... Amin," tulisnya dalam status yang dimuat naik kira-kira jam 9 malam tadi.

    Zizan tidak menyatakan tahap kecederaan yang dialaminya, namun menyertakan tanda pagar #kitaok seolah-olah memberi gambaran yang kecederaan dialami tidak serius.

    Gambar yang dimuat naik turut menunjukkan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang mengurut kaki dan tangan Zizan sambil disaksikan beberapa kru produksi.

    Selain #kitaok, status terbabit turut disertakan dengan beberapa tanda pagar lain seperti #getwellsoon #zizanrazak #action #film #movie #love #live #polisevo2.

    Selain Zizan, turut beraksi dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu adalah Shaheizy Sam, Erra Fazira dan Hairul Azreen.

    Peminat dan rakan artis yang memberi komen pada entri itu berharap Zizan segera sembuh dan mendoakan kesejahteraannya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tanda Pagar #kitaok Legakan Peminat Zizan "