• Tak rancang perluas kawasan ESSCOM

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang memperluaskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedia ada.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata buat masa ini, ESSCOM memfokuskan kepada usaha memperkukuh operasi keselamatan di kawasan terbabit.

    Beliau berkata, dengan pelbagai usaha dan operasi dibuat pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan kerajaan, ESSCOM kini berjaya memastikan kes penculikan di kawasan berkenaan berkurangan.

    "Kalau sekiranya tahun sudah ada 10 kes penculikan, tahun ini tiada kes dilaporkan.

    "Bukan kita mahu kes itu berlaku, namun semua ini menunjukkan keberhasilan operasi bersepadu yang sudah dilakukan selama ini," katanya.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ignatius Dorell Leiking (WARISAN-Penampang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata, menerusi operasi bersepadu, ESSCOM menangkap 1,156 orang pesalah yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing sejak Januari hingga September lalu.

    "Kejayaan ini adalah hasil operasi bersepadu yang dilakukan membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Maritim Malaysia, majlis kerajaan tempatan, Jabatan Imigresen serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tak rancang perluas kawasan ESSCOM "