• Tak Perlu Sibuk 'Selamatkan Malaysia' Jika PPBM Sendiri Parti Paling Bermasalah Malaysia

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) wajar melupakan hasrat meneruskan kempen 'Selamatkan Malaysia' dan mula berusaha untuk menyelamatkan partinya terlebih dahulu sebelum karam.

    Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, dengan PPBM peringkat cawangan dan bahagian yang huru-hara, PPBM tidak layak untuk menjadi parti pemerintah dalam kempen mereka bersama Pakatan Harapan untuk 'Selamatkan Malaysia'.

    “PPBM ini pun hanya bergantung harap pada populariti Dr Mahathir Mohamad saja. Pemimpin lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebenarnya tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

    "Lebih malang lagi, apabila pemimpin utama mereka itu lebih mementingkan agenda politik peribadi mereka berbanding kepentingan ahli-ahli dan agenda perjuangan PPBM itu sendiri," ujarnya dipetik UMNO Online.

    Perkara ini turut diakui oleh bekas pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman sebelum ini yang mendakawa, PPBM merupakan platform Dr Mahathir menaikkan nama anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapat kedudukan lebih tinggi dalam politik.

    Katanya, Dr Mahathir pada usia 92 tahun kini bertungkus lumus menaikkan nama Mukhriz dalam persada poitik gara-gara tidak yakin anaknya itu boleh melonjak lebih tinggi tanpa bantuan bapanya.

    "Tun (Mahathir) masuk semula politik kerana tidak yakin dengan kebolehan Mukhriz Mahathir. Itu hakikatnya. Kalau orang tanya kenapa Tun pada usia 92 tahun masuk semula politik kerana sayangkan negara ini atau nak memperbetulkan negara ini, saya kata tidak.

    "Sebenarnya dia masuk semula politik kerana dia sedar bahawa Mukhriz tidak boleh berdikari dalam politik," ujar Kamarulazman.

    Sementara Ismail menerangkan lanjut berhubung konflik dalaman PPBM turut berpunca daripada sikap Mukhriz yang merupakan Timbalan Presiden PPBM dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden parti sibuk mengaturkan pengikut-pengikut setianya di peringkat bahagian untuk memegang jawatan Ketua Bahagian Penaja.

    “Jadi ekoran itu berlakulah episod cantas-mencantas di dalam PPBM sehingga menyebabkan beberapa bahagian dan negeri PPBM yang akhirnya dibubarkan. Ini baru peringkat penaja, sudah begitu dahsyat gerakan cantas mencantas demi kepentingan agenda politik masing-masing.

    “Sebab itu saya berkeyakinan, PPBM takkan kekal lama kerana ia ditubuhkan untuk agenda politik peribadi pemimpin tertentu sahaja, bukan kerana matlamat perjuangan yang sebenar,” kata Ismail.

    Jelasnya lagi, sebenarnya tiada faktor 'wow' yang dibawa oleh PPBM termasuk Pakatan Harapan sendiri - juga di negeri-negeri yang diperintah mereka kini.

    "Bukan sekadar membawa pembaharuan, malah untuk menguruskan infrastruktur yang telah sedia ada pun mereka gagal,” ujarnya lagi.- MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Perlu Sibuk 'Selamatkan Malaysia' Jika PPBM Sendiri Parti Paling Bermasalah Malaysia "