• Tak payah rapat, berlatih di set cukup

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Menolak cinta lokasi, aktor sasa, Zul Ariffin menganggap pelakon dan teman gandingan tidak perlu akrab hingga timbul gosip berkasih atas alasan mencari keserasian di set penggambaran.

    Pemegang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu mengaku, dia ada kalanya kurang bercakap dengan pasangan gandingan melainkan ketika berlatih atau beraksi di lokasi.

    Zul memberi contoh pengalamannya berlakon dengan Farah Nabilah ketika menjayakan produksi drama Titian Cinta.

    "Masa berlakon, kami tumpukan perhatian kepada kerja. Misalnya, ketika beraksi, saya tak terikat dengan skrip.

    "Saya biasakan adlib (ubah skrip secara spontan) tapi dengan keizinan pengarah. Lantas, Farah terikut rentak saya. Jadi kerjasama itu berlaku secara tak langsung.

    "Kami hanya berjumpa sama ada di set penggambaran atau ketika berlatih," katanya kepada BH Online.

    Drama Titian Cinta yang diadaptasi daripada novel karya Ridhya Iman disiarkan slot Akasia TV3 dari 12 September hingga 30 Oktober lalu. Sepanjang tayangan, drama itu menambat hati kira-kira 11 juta peminat drama Melayu.

    Berpuas hati dengan keserasian yang wujud antara dirinya dan Farah, Zul yang menginjak usia 31 tahun menganggap gandingan mereka suatu keajaiban.

    "Ini kerana ada drama lakonan saya dengan pelakon wanita yang sudah mencipta nama tidak mendapat sambutan.

    "Ini bermakna pengalaman dan populariti bukan ukuran yang akan menentukan kejayaan sesebuah drama. Semuanya berbalik kepada rezeki dan tuah," katanya.

    Zul yang sudah sedekad menceburi dunia seni memberitahu, dia hampir menolak tawaran drama arahan Heykal Hanafiah itu.

    "Ini kerana saya tidak mahu jadual promosi filem Tombiruo : Penunggu Rimba terganggu.

    "Saya bimbang jika komitmen tiga bulan berlakon dalam drama itu akan menyusahkan saya untuk melakukan promosi filem berkenaan. Bagaimanapun, selepas berbincang, pihak produksi menyusun semula jadual mereka," katanya yang turut berlakon dalam filem terbaharu arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah 2.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tak payah rapat, berlatih di set cukup "