• Tak Mahu Pelajar Tertekan

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ujian air kencing ke atas semua pelajar tidak perlu dilakukan kerana memerlukan kos tinggi, selain memberi impak negatif kepada psikologi mereka.

    Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata langkah itu juga bakal mengundang bantahan ibu bapa.

    "Kalau kita mahu buat ke atas semua murid, ia akan membabitkan kos yang teramat tinggi kerana ada 4.7 juta pelajar di seluruh negara.

    "Ia juga akan menyebabkan impak psikologi kepada pelajar yang tidak mempunyai isu tetapi dipaksa mengambil ujian air kencing.

    "Ia akan memberi kesan terhadap pelajar manakala ibu bapa pasti membantah," katanya menjawab soalan tambahan Dr Siti Mariah Mahmud (Parti Amanah Negara-Kota Raja) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sin Woon berkata, pelajar yang dikenal pasti terbabit mencuba dadah merangkumi kira-kira 1,400 orang atau 0.03 peratus daripada keseluruhan pelajar sehingga 31 Julai lalu.

    Dari segi peratusan jenis dadah diambil, katanya, sejumlah 75.68 peratus adalah methamphetamine, 16.73 peratus (kanabis atau ganja), 5.17 peratus (opiat), 2.23 peratus (amphetamine) dan 0.19 peratus jenis ketamin.

    Beliau berkata, pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan dadah atau positif ujian air kencing akan menjalani sesi kaunseling.

    "Selepas tiga bulan, kita buat lagi ujian air kencing. Jika masih positif, kita rujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membolehkan pelajar terbabit menjalani program pemulihan," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Mahu Pelajar Tertekan "