• Syukurlah masih diberi peluang: Conte

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+


    LONDON: Antonio Conte berpesan kepada mana-mana pemain Chelsea yang masih tidak gembira kerana kekurangan masa bermain bahawa mereka sepatutnya bersyukur kerana masih dapat mewakili juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.

    Willian dan David Luiz masing-masing diketepikan daripada kesebelasan utama Conte sejak kebelakangan ini dan pengurus Chelsea itu bersedia menggilirkan skuadnya untuk mengharungi jadual padat sepanjang Disember dan Januari.

    Willian, pengatur serangan Brazil itu diturunkan sebagai pemain simpanan menyamakan jaringan untuk seri 1-1 di Liverpool Sabtu lalu manakala Luiz terus memanaskan bangku simpanan.

    Pemain pertahanan itu yang tempatnya digantikan Andreas Christensen, tidak akan beraksi untuk menentang Swansea awal pagi esok berikutan kecederaan lutut.

    "Pemain saya sewajarnya gembira bermain untuk Chelsea," kata Conte.

    "Mereka perlu gembira sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau simpanan. Saya mempunyai pemain yang pintar untuk memahami dan menerima situasi ini.

    "Apabila anda berada di dalam skuad yang hebat, anda perlu menerima hakikat ini. Pada masa sama anda perlu gembira terus bersama pasukan hebat ini."

    Conte ditanya mengenai Willian yang dikaitkan dengan Manchester United musim panas lalu dan masih tidak diturunkan sebagai skuad utama Liga Perdana sejak tewas kepada Crystal Palace Oktober lalu.

    Namun komen jurulatih Itali itu turut merujuk kepada Eden Hazard dan Pedro, yang mengisi bangku simpanan musim ini.

    "Saya cuba membuat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan selain melindungi semua pemain," kata Conte.

    "Saya ingin memulakan permainan dengan pemain terbaik pada sesuatu masa tetapi ia mustahil dilakukan. Ia mustahil kerana jika tidak saya tidak akan melindungi mereka. Bukan mudah merehatkan pemain ternama tetapi saya perlu melakukannya."

    Chelsea ketinggalan 11 mata berbanding pendahulu Manchester City selepas 13 perlawanan menjelang aksi menentang Swansea. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Syukurlah masih diberi peluang: Conte "