• Suu Kyi akhirnya jejak kaki ke Rakhine

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    YANGON: Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tiba untuk lawatan pertama ke negeri bergolak Rakhine hari ini.

    Seorang pegawai berkata, kunjungan Suu Kyi ke kawasan yang menyaksikan kira-kira 600,000 Muslim Rohingya diusir dalam kempen tentera, dilakukan secara mengejut.

    Suu Kyi, pemenang Anugerah Nobel yang mengetuai parti pro-demokrasi Myanmar, diberi tekanan masyarakat antarabangsa kerana gagal menggunakan kuasanya untuk mempertahankan Rohingya.

    "Kaunselor Negara (Suu Kyi) kini berada di Sittwe dan akan melawat Maungdaw dan Buthiduang. Ia adalah lawatan sehari," kata jurucakap kerajaan Zay Htay kepada AFP.

    Maungdaw dan Buthiduang adalah dua pusat utama keganasan namun jadual lawatan beliau tidak didedahkan.

    Ia adalah lawatan pertama Suu Kyi ke utara Rakhine sejak memegang jawatan itu, kawasan utama keganasan etnik sejak 2012, menjejaskan reputasi global Myanmar.

    Tidak jelas jika Suu Kyi akan melawat ratusan perkampungan Rohingya yang dibakar tentera, didakwa dibantu etnik Buddha tempatan di Rakhine, atau beliau akan dibawa melihat baki kumpulan etnik Islam itu, kini tinggal dalam ketakutan dan kebuluran.

    Pemerhati berkata, Suu Kyi memilih untuk tidak mengkritik tentera kerana bimbang dikecam institusi berkuasa itu yang mengawal semua perkara berkaitan keselamatan.

    Suu Kyi juga mengetuai satu jawatankuasa ditugaskan membina semula Rakhine dan menghantar pulang Rohingya dari Bangladesh yang berdepan kriteria ketat kemasukan semula ke Myanmar. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Suu Kyi akhirnya jejak kaki ke Rakhine "