• Sung-Hyun Kini Nombor Satu Dunia

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    BEIJING: Sensasi Korea Selatan Park Sung-Hyun menjadi pendatang baru Jelajah LPGA pertama dinobat pemain nombor satu dunia pagi tadi susulan musim yang turut menyaksikannya kali pertama menjulang juara kejohanan utama.

    Pemain berusia 24 tahun itu yang menyingkirkan rakan senegara Ryu So-Yeon dari tangga teratas adalah pemain Korea Selatan keempat berada di ranking teratas dunia sejak sistem berkenaan diperkenalkan pada 2006, menyertai Shin Ji-Yai, Park In-Bee dan So-Yeon.

    "Saya amat terkejut dan kagum dengan apa yang saya capai," kata Sung-Hyun di Pulau Hainan di mana dia akan menyertai kejohanan LPGA Blue Bay minggu ini. "Semua ini berlaku secara tiba-tiba, saya tidak menyedarinya langsung," kata Sung-Hyun.

    "Saya fikir ia satu penghormatan buat keluarga saya."

    Sung-Hyun mencapai ranking nombor satu genap setahun selepas mengadakan sidang media di Korea di mana dia akan menyertai Jelajah LPGA, selepas musim yang turut menyaksikannya menang tujuh gelaran Jelajah LPGA Korea, bertanding dalam tiga kejohanan utama dan naik ke tangga ke-10 dunia.

    Prestasi cemerlangnya diteruskan dalam Jelajah LPGA tahun ini dengan dua kemenangan setakat ini termasuk menjuarai kejohanan utama di Terbuka Wanita AS, sembilan kali dalam kelompok 10 terbaik dan tiga kali dalam kelompok 20 terbaik.

    Bukan itu saja, Sung-Hyun yang sentiasa konsisten tidak pernah tersingkir daripada 29 penyertaan Jelajah LPGA - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Sung-Hyun Kini Nombor Satu Dunia "