• Sultan Ibrahim Pula Haramkan Ustaz 'Bollywood', Ismail Menk Ceramah Di Johor

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengeluarkan arahan mengharamkan dua penceramah terkenal, Ustaz Haslin Baharim dan Ismail Menk daripada menyampaikan sebarang ceramah di negeri itu.

    Memetik Berita Harian, titah Sultan Ibrahim itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim sebentar tadi.

    Abd Mutalip berkata, larangan tersebut adalah kerana kandungan ceramah yang disampaikan kedua-dua penceramah itu boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

    "Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan," katanya seperti dilapor akhbar itu, hari ini.

    Larangan yang dikeluarkan Sultan Ibrahim kepada Mufti Zimbabwe dan Ustaz Haslin yang juga terkenal dengan panggilan 'Ustaz Bollywood' dilihat selari dengan pendirian Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang turut mengeluarkan arahan sama, beberapa hari lalu.

    Media tempatan memetik kenyataan di laman Web Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) melaporkan Ismail Menk dan Ustaz Haslin terlibat menyampaikan ceramah di atas kapal kruis yang berlepas dan berakhir di Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

    Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa Ismail Menk menyampaikan ajaran yang memecahkan belahkan kaum, sebagai contoh tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

    Sementara Ustaz Haslin didakwa melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidak harmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai 'menyeleweng’, lapor Bernama.

    Harian Metro semalam melaporkan Ustaz Haslin memohon penjelasan daripada republik itu mengenai dakwaan tersebut yang menyebabkan beliau dihalang memasuki dan menyampaikan ceramah di Singapura.

    "Saya pun tercari-cari ceramah yang mana mengatakan saya menggalakkan perpecahan antara rakyat negara itu.

    "Dalam dua hari ini, saya mahu bersemuka dengan pihak agama Islam Singapura untuk diberi penjelasan dan tunjukkan video ceramah saya serta di mana tempatnya.

    "Kalau ceramah di Malaysia, mereka (kerajaan Singapura) tak boleh campurkan dengan hal ehwal di Singapura kerana saya berceramah mengikut isu semasa serta latar belakang penonton yang hadir,” katanya.

    Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Malaysia tidak akan menyekat Ismail Menk dan Ustaz Haslin daripada menyampaikan ceramah di negara ini.

    Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, Malaysia menghormati pendirian dan keputusan Singapura serta tidak akan mencampuri urusan dalamannya kerana republik itu mempunyai undang-undang sendiri.

    “Setakat kedua-dua tokoh itu berada di Malaysia, mereka tidak pernah melakukan sebarang pelanggaran terhadap pemahaman, kepelbagaian budaya dan juga aspek yang menyebabkan berlakunya ketegangan sosial dan perselisihan antara kaum,” katanya dipetik sebuah portal.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Sultan Ibrahim Pula Haramkan Ustaz 'Bollywood', Ismail Menk Ceramah Di Johor "