• Suka-Suka Tapi Menang Besar

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    SEORANG wanita yang tidak pernah meminati bola sepak mencuba nasib dengan membuat pertaruhan dalam 12 perlawanan baru-baru ini.

    Segala-galanya bermula apabila wanita itu bengang dengan gelagat suami dan anaknya yang gemar menonton perlawanan bola sepak di televisyen pada setiap hujung minggu.

    Tanpa sebarang kemahiran, dia memilih pasukan kegemarannya sebelum membuat pertaruhan bernilai £1 (RM5.57) sahaja untuk setiap taruhan.

    Tanpa diduga, pasukan pilihan yang majoritinya dari daerah luar itu telah membawa tuah apabila dia memenangi sebanyak £574,278.41 (RM3.2 juta).

    Menurut Carli Faulkner yang bertugas di cawangan William Hill Leysdown-on-Sea, ia adalah kemenangan paling banyak yang pernah dibayar pihaknya kepada pemenang.

    "Sesuatu yang menakjubkan apabila wanita itu dapat memenangi sejumlah besar wang itu. Selalunya pelanggan kami akan ketawa apabila melihat jumlah yang tertera di bawah slip pertaruhan, tetapi kali ini ia menunjukkan nilainya boleh berubah.

    "Tentunya sambutan Krismas kali ini akan lebih meriah, lebih-lebih lagi ia dimenangi seorang wanita. Sebelum ini jumlah paling banyak yang pernah dibayar adalah £25,000," katanya.

    Menurut jurucakap William Hill, Rupert Adams, suami wanita itu adalah pelangganya yang akan membuat pertaruhan setiap minggu sejak 40 tahun lalu.

    "Isterinya mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu sejak enam tahun lalu dan bernasib baik memenangi pertaruhan itu," katanya. - mStar 

    Subjects:

  • No Comment to " Suka-Suka Tapi Menang Besar "