• Sudah Lama Aktiviti Pelacuran Berlaku

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki sindiket pelacuran yang dijalankan di dalam pusat urut di sebuah hotel dekat sini sudah lama beroperasi.

    Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia berikutan hasil pemeriksaan menemui beberapa kesan buruk dan reput pada sebahagian daripada wang tunai RM13.5 juta yang ditemui dalam dua serbuan Ops Gegar di sini pada Jumaat lalu.

    "Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan pada baru-baru ini, namun kami percaya ia sudah lama dijalankan berikutan kesan lama, buruk dan reput ditemui pada sebahagian wang tunai berkenaan.

    "Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera tahun 2008," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman.

    Mengulas mengenai penemuan wang tunai lebih RM13.5 juta itu, Mustafar memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada wang tunai berkenaan hasil daripada sindiket pelacuran semata-mata atau tujuan lain.

    Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan seorang lagi suspek dipercayai dalang kegiatan tidak bermoral itu ditahan.

    Suspek wanita tempatan berusia 46 tahun tersebut ditangkap di sebuah unit apartment di Jalan Api-Api di sini lebih kurang 12 tengah hari tadi.

    Penangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah mereka ditahan kepada empat orang yang terdiri daripada tiga warganegara tempatan dan seorang lelaki Filipina.

    Terdahulu, pada Jumaat lalu dalam dua serbuan Ops Gegar yang dijalankan bermula pukul 8.45 malam oleh Jabatan Imigresen Sabah telah menemui RM11,880,784.30 di dalam pusat urut di sebuah hotel dekat sini manakala RM1,156,175.50 pula ditemui di sebuah pangsapuri berdekatan.

    Dalam serbuan terbabit, seramai 17 wanita Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an dijumpai berada di dalam bilik urut hotel berkenaan dipercayai mangsa sindiket pelacuran.

    Selain Akta Imigresen, kes terbabit turut melibatkan Kanun Prosedur Jenayah serta Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sudah Lama Aktiviti Pelacuran Berlaku "