• Suami Isteri Maut Dirempuh Kereta

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    CHANGLUN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 12.6 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, pagi tadi.

    Dalam kejadian jam 7.15 pagi, mangsa, Nordin Othman, 71, dan isterinya, Hasnah Ahmad, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian tengkuk.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata pasangan itu dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Belukar, Changlun menuju ke kebun getah mereka kira-kira lima kilometer.

    Katanya, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dalam perjalanan ke Alor Setar sebelum terbabit dalam kemalangan.

    "Pasangan terbabit dikatakan dari kiri jalan secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan untuk membuat pusingan U.

    "Pemandu terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu menyebabkan pasangan itu terjatuh lalu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Ismail berkata, mayat pasangan terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Suami Isteri Maut Dirempuh Kereta "