• Sistem Pendidikan Negara Perlu Diubah - Michael Manyin

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    KOTA SAMARAHAN: Sistem pendidikan negara perlu diubah bagi melahirkan modal insan generasi baharu yang mempunyai pemikiran lebih tinggi.

    Menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, budaya menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik sahaja perlu diubah, kerana ia tidak begitu relevan lagi dengan perkembangan masa depan.

    “Kita boleh menggunakan kurikulum untuk membuat pelajar berfikir yang berorientasikan keperibadian tetapi sistem yang kita ada adalah berorientasikan peperiksaan.

    “Selagi sistem berorientasikan peperiksaan, maka ia adalah tentang menghasilkan keputusan peperiksaan yang baik.

    “Saya tidak fikir guru-guru akan mempunyai masa untuk berfikir tentang pemikiran yang lebih tinggi kerana mereka hanya cuba untuk mendidik pelajar dan memastikan mereka mendapat keputusan yang baik, kerana itulah sistem yang ibu bapa dan industri mahu,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Manyin berkata kementeriannya tidak dapat membawa perubahan tersebut ke dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya memerlukan sokongan daripada para guru dan campur tangan ahli politik.

    “Walaupun pendidikan negara menjangkakan untuk melahirkan pelajar yang berdaya fikiran tinggi tetapi sistem adalah masih sama iaitu cemerlang akademik.

    “Kita harus bersikap jujur dengan diri sendiri dan kita mahu guru memberitahu ahli politik dan berkata ya, sistem itu tidak betul dan perlu mengubah sedikit secara perlahan-lahan,” jelasnya.

    Sehubungan itu, beliau menyeru para guru membangunkan kemahiran berfikir lebih tinggi di kalangan pelajar bermula dari sekolah rendah lagi.

    Jelas beliau dengan memantapkan kemahiran berfikir lebih tinggi bermula daripada kanak-kanak, ia secara tidak langsung akan menjadi budaya dan diamalkan oleh generasi baharu. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sistem Pendidikan Negara Perlu Diubah - Michael Manyin "