• Sindiket pintasan cek dan kad kredit didalangi Geng Ah Chong tumpas

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket yang aktif melakukan aktiviti pintasan cek dan kad kredit membabitkan kerugian sebanyak RM 500,000 dengan tertangkapnya lima warga tempatan termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang dekat sini Sabtu lalu.

    Dalam serbuan pada pukul 7 petang itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an sedang leka menjalankan aktiviti pintasan cek dan kad kredit di kondominium tersebut.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, turut ditahan ialah ketua kumpulan berkenaan berusia 39 tahun dikenali sebagai Ah Chong.

    “Modus operandi yang digunakan ialah anggota sindiket akan mengambil kad kredit dan cek yang dihantar melalui pos daripada peti surat yang terdapat di apartmen dan kondominium sekitar Lembah Klang.

    “Suspek kemudiannya akan memeriksa setiap sampul surat tersebut dan sekiranya terdapat cek atau kad kredit, mereka akan memalsukannya untuk tujuan pembelian barangan secara online,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

    Mazlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya merampas beberapa keping cek, telefon bimbit, kad pengenalan disyaki palsu, kad ATM. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sindiket pintasan cek dan kad kredit didalangi Geng Ah Chong tumpas "