• Sidang DUN Kelantan: Hubungan Negeri, Pusat Semakin Baik

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengakui hubungan Kelantan dan kerajaan Pusat semakin baik terutama selepas banjir teruk pada 2014.

    Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata dalam tempoh berkenaan, banyak kemajuan dicapai hasil hubugan berkenaan demi kebaikan rakyat.

    Beliau turut mengakui banyak bantuan disalurkan kerajaan Pusat kepada Kelantan sejak dahulu hingga kini.

    "Namun, beberapa isu perlu diatasi bagi memenuhi semangat Perlembagaan dan persekutuan negara, sekali gus merapatkan lagi hubungan Kelantan dan Pusat.

    "Sebagai contoh, isu royalti (minyak) yang kini dalam proses mahkamah. Kelantan tidak pernah berputus asa selain berharap kerajaan Pusat dapat pertimbangkan perkara itu.

    "Jika isu itu dapat diselesaikan secara baik, kita yakin lebih banyak kerjasama dapat dilakukan di antara Kelantan dan Pusat," katanya.

    Menjawab soalan Azami Md Nor (PAS- Kadok) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini, Mohd Amar juga berharap kerajaan Pusat dapat menyegerakan beberapa projek yang sudah diluluskan di negeri itu.

    "Antaranya projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dan pembinaan Hospital Bachok.

    "Kita tidak mahu kerajaan Pusat mencampur aduk isu politik dalam bantuan berkenaan kerana kemudahan yang diberikan itu demi keselesaan rakyat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sidang DUN Kelantan: Hubungan Negeri, Pusat Semakin Baik "