• Siang Polis, Malam Jadi Bapa Ayam

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    ANGGOTA polis dipercayai ‘bapa ayam’ ditahan bersama enam yang lain di sebuah hotel dan kondominium di Klang dan Setia Alam kerana dipercayai menjual pelacur menerusi aplikasi Whatsapp.

    Anggota polis berusia 26 tahun berpangkat Konstabel dan bertugas di cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang itu ditahan ketika cuba menyembunyikan diri di sebuah kondominium.

    Dalam serbuan itu turut ditemui pakaian seragam miliknya dan peralatan menghisap syabu.

    “Seorang wanita Indonesia yang juga pelacur dan mengaku teman wanita anggota polis itu turut ditahan di kondominium sama,” lapor Harian Metro berdasarkan sumbernya.

    Sindiket itu dipercayai mengiklankan kegiatan pelacuran yang berlangsung di sebuah hotel di Klang, menggunakan wanita digelar Miss Dyan, Miss Aylla, Miss Evi dan Suraya menerusi aplikasi Whatsapp.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan yang mengesahkan kes itu berkata, tiga wanita warga Indonesia dan dua lelaki tempatan berjaya ditahan di sebuah hotel.

    Ketiga-tiga wanita itu dipercayai pelacur manakala dua lelaki berkenaan penjaga mereka.

    Serbuan dilakukan bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Dua lagi individu iaitu seorang lelaki tempatan dan wanita warga Indonesia ditahan di sebuah kondominium di Setia Alam dalam operasi yang bermula 6.15 petang kelmarin.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan manakala JAIS menjalankan siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah 199 kerana berkurung dalam satu rumah bukan pasangan suami isteri.

    Menurutnya, warga tempatan yang ditahan itu direman empat hari mulai hari ini manakala warga asing 14 hari bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Siang Polis, Malam Jadi Bapa Ayam "