• SIA Batal 5 Penerbangan Ke Bali Hari Ini

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    SINGAPURA – Singapore Airlines (SIA) telah membatalkan lima penerbangan ke Denpasar, Bali, hari ini berikutan penutupan sementara Lapangan terbang Antarabangsa Ngurah Rai akibat letusan Gunung Agung di pulau peranginan itu.

    Dalam jadual kemas kini Facebook syarikat penerbangan itu, SIA berkata penerbangan yang terjejas adalah SQ938/SQ939, SQ942/SQ943, SQ946/SQ947, SQ948/SQ949 dan I176/MI175.

    Menurutnya, penumpang ke Bali antara hari ini dan 4 Dis dengan tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 27 Nov boleh menghubungi pejabat tiket SIA untuk menukar masa perjalanan baharu ke laluan yang sama atau memilih untuk mendapatkan semula wang bayaran tiket.

    ‘Tarikh baharu perjalanan perlu dilakukan pada atau sebelum 31 Jan 2018“ menurut SIA.

    Selain SIA, SilkAir mengumumkan penerbangan M19128/9127 ke Lombok yang dijadualkan semula hari ini turut dibatalkan.

    Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mengeluarkan nasihat perjalanan hari ini dengan meminta penumpang memeriksa status penerbangan mereka dengan melayari changiairport.com, atau dengan syarikat penerbangan masing-masing. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " SIA Batal 5 Penerbangan Ke Bali Hari Ini "