• Shahruddin Disiasat ROS

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh akan disoal siasat oleh Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) di Putrajaya, Selasa ini.

    Perkara itu disahkan Shahruddin yang memaklumkan sudah menerima panggilan daripada ROS dan akan hadir, Selasa ini bagi memberi kenyataan dan bekerjasama dengan jabatan berkenaan.

    Ia susulan lapan bahagian PPBM di Johor membuat laporan kepada ROS di Putrajaya berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti.

    Antaranya, kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

    "Saya sudah dihubungi dan akan hadir pada minggu depan untuk soal siasat dan akan memberikan kerjasama pada ROS dalam perkara ini.

    "Sudah pasti saya sedia disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kepemimpinan tertinggi PPBM Johor, di sini hari ini.

    Shahruddin berkata, pihaknya sedang meneliti bersama pucuk pimpinan sama ada akan mengambil tindakan terhadap ahli yang membuat laporan itu mengikut peruntukan perundangan dan perlembagaan parti.

    "Apa juga yang berlaku di bahagian, saya minta Ketua Bahagian buat laporan pada kita (pucuk pimpinan) supaya tindakan mengikut peraturan dan perlembagaan parti," katanya.

    Lapan bahagian terbabit ialah Bakri, Kluang, Semberong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang, Batu Pahat dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Semberong menyerahkan laporan itu kepada wakil ROS.

    Semalam, bekas Penyelaras PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putera Ali, berkata kenyataan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, mendakwa isu penangguhan perhimpunan parti itu selesai disifatkan hanya sebagai permainan untuk menipu ahli parti mengenai kepincangan yang berlaku dalam perlembagaan parti itu.

    Katanya, bagi memastikan tindakan diambil oleh ROS, sebanyak 358 aduan rasmi daripada 26 bahagian parti di Johor akan diserahkan kepada ROS dalam tempoh terdekat ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Shahruddin Disiasat ROS "