• Shafie Cuba Hasut

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa pemimpin Kristian dalam Barisan Nasional (BN) Sabah takut menyuarakan hak agama itu bersifat cuba memisahkan masyarakat Kadazandusun Murut.

    Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bertujuan mengeksploitasi sensitiviti penganut Kristian dan menghasut mereka menentang BN.

    Katanya, Mohd Shafie juga menamakan beberapa pemimpin Kristian yang didakwa gagal melindungi agama dan tidak menolak kerjasama UMNO serta PAS semata-mata mencari kesempatan dalam politik.

    "Semua pemimpin Kadazandusun Murut yang dinamakan Mohd Shafie ialah individu yang secara terbuka mempertahankan hak Kristian di negeri ini, termasuk hak menggunakan perkataan 'Allah' dalam alkitab terjemahan bahasa Melayu dan penyembahan.

    "Kerajaan BN juga sudah mengakui tuntutan ini. Apa yang Shafie cuba katakan?," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Baru-baru ini, Mohd Shafie yang juga bekas Naib Presiden UMNO dalam satu program di Keningau, mendakwa pemimpin Kristian dalam BN di Sabah gagal melindungi kepentingan agama negeri ini.

    Mengenai kerjasama UMNO dan PAS, Johnny berkata, ia adalah hak parti komponen BN untuk bekerjasama dengan parti lain, selagi tidak bertujuan menentang gabungan parti sedia ada.

    "PAS juga bukan ancaman kita di Sabah. Jadi, kenapa kita harus berdepan UMNO? Perdana Menteri sudah memberi jaminan bahawa semua hak kita akan dihormati dan hak yang terhakis akan dikembalikan," katanya.

    Beliau berkata, PBS menentang penggunaan agama untuk politik kerana ia akan menghancurkan budaya tolak ansur, saling menghormati dan penerimaan antara satu sama lain yang diamalkan rakyat Sabah.

    Katanya, PBS tidak akan termakan 'umpan' Mohd Shafie yang pernah menegaskan BN menghormati hak rakyat negeri ini ketika masih berada dalam kerajaan.

    "Hanya kerana Warisan mempunyai beberapa wakil Kadazandusun Murut dan pembelot parti dari PBS, dia cuba menarik perhatian komuniti Kadazandusun Murut dengan menggunakan agama dan ini semua cuma perkara biasa dalam politik. Tidak akan menjejaskan ahli PBS," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Shafie Cuba Hasut "