• Setiausaha Pertahanan Britain Letak Jawatan

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    LONDON: Setiausaha Pertahanan Britain, Michael Fallon meletak jawatan semalam, ahli parlimen pertama berbuat demikian susulan dikaitkan dengan skandal gangguan seksual di Westminter.

    Fallon dalam sepucuk surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Theresa May berkata, sejumlah tuduhan muncul mengenai ahli parlimen (MP) sejak beberapa hari kebelakangan ini termasuk sesetengah yang mengaitkan beliau.

    "Kebanyakan tuduhan ini adalah palsu namun saya menerima bahawa pada masa lalu saya juga tidak menepati standard tinggi disyaratkan dalam pasukan keselamatan yang perlu saya wakili," tulisnya.

    Fallon memohon maaf minggu ini kerana meletakkan tangannya pada lutut wartawan politik, Julia Hartley-Brewer.

    Ketika muncul di televisyen, beliau berkata dirinya tidak fikir peletakan jawatan Fallon berdasarkan insiden tunggal pada 2002.

    "Saya beranggapan ada lebih banyak tuduhan muncul. Saya amat ragu-ragu kerana disebabkan lutut saya dan saya fikir ia agak tidak masuk akal dan gila," kata Hartley-Brewer kepada Sky News.

    Fallon tidak membalas secara langsung ketika ditanya BBC jika beliau bimbang lebih banyak kisahnya akan didedahkan berkaitan tingkah lakunya.

    "Budaya sudah berubah sejak beberapa tahun lalu, apa yang mungkin diterima 15, 10 tahun lalu jelas tidak diterima sekarang," katanya kepada penyiar British itu.

    May menggesa peraturan ke atas tingkah laku MP diperketatkan dan memohon satu mesyuarat minggu depan bersama pemimpin parti lain, susulan kemunculan beberapa dakwaan gangguan seksual di Westminster. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Setiausaha Pertahanan Britain Letak Jawatan "