• Serena Williams akhiri zaman bujang di New Orleans

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    WASHINGTON: Bintang tenis, Serena Williams dikatakan bakal mengadakan majlis perkahwinannya pada hari ini.

    Artis terkenal seperti Beyonce dan Jay Z, di samping pelakon Eva Longoria adalah antara senarai utama yang dilaporkan berada di New Orleans bagi perkahwinan Williams dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian.

    Akhbar People dan The Daily Mail memetik sumber yang enggan dinamakan, memberitahu lebih kurang 250 tetamu dijemput bagi menghadiri majlis di Contemporary Arts Center di Big Easy.

    The Daily Mail melaporkan perancang majlis perkahwinan itu melakukan secara rahsia dan tetamu tidak diberikan maklumat sehinggalah pagi Khamis (waktu tempatan).

    Kos perbelanjaan acara itu dikatakan lebih daripada $1 juta (RM4.18 juta) dan semua tetamu tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kerana perjanjian gambar eksklusif diberikan kepada majalah Vogue.

    Williams, 36, juara 23 kali Grand Slam, dan Ohanian, 34, baru menimang anak perempuan, Alexis Olympia pada 1 September.

    Mereka mengumumkan pertunangan pada Disember 2016 selepas pertemuan pada 2015 di Rom.

    Williams memenangi Terbuka Australia tahun ini ketika sedang mengandung dan dijangka akan mengekalkan kejuaraannya di Melbourne pada tahun hadapan - hanya empat bulan setengah selepas melahirkan anak sulungnya itu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Serena Williams akhiri zaman bujang di New Orleans "