• Serangan New York: Siapa Sayfullo Saipov?

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    MANHATTAN - AMERIKA SYARIKAT. Suspek yang didakwa melancarkan serangan di New York semalam merupakan seorang warga Uzbekistan yang berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada 2010.

    Sayfullo Habibullaevic Saipov, 23, hidup berpindah randah di AS untuk beberapa tahun sebelum ini.

    Florida, Ohio dan New Jersey antara lokasi yang pernah disinggahinya.

    Menurut laporan CNN, Sayfullo juga pernah bekerja sebagai pemandu Uber selama enam bulan sebelum serangan semalam.

    Dalam serangan didakwa dilancarkan sempena perayaan Halloween, Sayfullo memandu trak yang disewanya dan merempuh laluan basikal yang padat dengan orang awam.

    Dalam serangan tersebut, lapan disahkan maut dan puluhan lagi cedera.

    Selepas melanggar sebuah bas sekolah, Sayfullo kemudian meninggalkan traknya sambil mengacukan 'marker', alat yang digunakan sebagai senjata dalam sukan 'paintball'.

    Sayfullo kemudian ditembak polis, dibawa ke hospital dan dirawat.

    Pernah daftar syarikat

    Semasa di Ohio, Sayfullo pernah mendaftar dua syarikat Sayf Motors Inc pada 2011 dan Bright Auto LLC pada 2013. Kedua-duanya adalah syarikat berkenaan automotif.

    Semasa berkhidmat dengan Uber pula, Sayfullo 'lulus' pemeriksaan latar belakang yang dijalankan.

    Lelaki itu bagaimanapun pernah direkodkan dalam sistem kerana mempunyai saman dan pernah terlibat dalam satu insiden pada 2015 dimana beliau didakwa kerana memandu kenderaan dengan brek rosak.

    Berkenaan serangan di New York, Sayfullo didakwa diinspirasi oleh propaganda kumpulan pengganas Daesh walaupun tiada sebarang bukti jelas diperoleh.

    Polis bagaimanapun menemui sebuah nota dalam trak yang ditinggalkan Sayfullo, mengatakan serangan tersebut dibuat atas nama Daesh.

    Bertindak sendirian

    Siasatan awal Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan polis New York (NYPD) mengatakan Sayfullo adalah 'lone wolf' (bertindak bersendirian).

    Laporan CBS News mengatakan Sayfullo menjerit 'Allahuakbar' ketika keluar dari traknya.

    Ketika ini, pihak berkuasa masih membongkar sebarang alat elektronik milik Sayfullo dalam usaha mencari bukti dan kaitan suspek dengan kumpulan pengganas.-SH

    Subjects:

  • No Comment to " Serangan New York: Siapa Sayfullo Saipov? "