• Seniman Turki Tetap Kritis Dalam Era Erdogan

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    ISTANBUL: Budak lelaki Syria yang bisu menggunakan hanya pergerakan badan, menampilkan gambaran yang mengusik perasaan mengenai kehidupan di bawah kumpulan Daesh di negara kelahirannya.

    Himpunan penunjuk perasaan anti-golongan berkuasa.

    Dan kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memutih, mengekalkan suasana seperti 'Big Brother' yang memantau seluruh kota raya.

    Ia hanyalah sebahagian gambaran daripada pameran kontemporari di sini ketika seniman bergelut dengan isu penapisan dan pergolakan politik di Turki serta gelombang keganasan di seberang sempadan Syria.

    Ketika pengkritik Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa kerajaan bertindak sewenang-wenangnya terhadap kebebasan bersuara, ramai seniman secara terbuka mencabar trend itu dengan menangani isu besar melalui karya lukisan yang menampilkan adegan secara berkesan.

    Sejurus selepas kegagalan rampasan kuasa terhadap Erdogan pada tahun lalu, pihak berkuasa Turki melancarkan tindakan pembersihan yang dianggap pembangkang bahawa ia melampaui dalang yang disyaki, sebaliknya turut membabitkan lingkungan intelektual dan seniman.

    Sebahagian artis bertindak melakukan tapisan kendiri atau meninggalkan negara tetapi yang lain berusaha mengembangkan cara baharu dalam menangani situasi itu.

    Seniman, Safak Catalbas, berkata senario seni di Istanbul bukan dalam proses mengecil, sebaliknya ia dalam rangka menjadi lebih menarik.

    "Keadaan yang sukar ini menjadikan kami lebih kreatif," katanya.

    Istanbul Biennial, iaitu acara seni kontemporari terpenting di Turki, tidak terlepas daripada topik kontroversi seperti krisis pelarian atau konflik di Syria dan Iraq.

    Acara itu yang dikuratorkan oleh dua seniman Scandinavia, Michael Elmgreen dan Ingar Dragset serta menutup tirai pada 12 November lalu, juga mengandungi lebih daripada isyarat yang merujuk kepada situasi semasa di Turki.

    Seniman Turki berbangsa Kurdi, Erkan Ozgen menampilkan instalasi video mengenai kanak-kanak lelaki Syria yang bisu, Mohammed, dalam tayangan filem pendek berjudul Wonderland.

    Lukisan mural yang hebat oleh pereka bentuk Perancis-Maghribi, Latifa Echakhch mempamerkan himpunan penunjuk perasaan yang merujuk kepada perhimpunan antikerajaan di Turki pada 2013.

    Contoh lain pula datang daripada seniman Turki, Burcak Bingol, yang menggunakan kamera CCTV yang berserakan di seluruh kota raya untuk membangkitkan semula ingatan golongan yang peka terhadap realiti kehidupan di bawah darurat sudah berlangsung lebih setahun.

    Pengarah Biennial, Bige Orer, berkata semua pameran mestilah setidak-tidaknya mengangkat konteks sosial politik tempatan untuk menjadi relevan.

    "Kami cuba mencari bahasa baharu untuk menangani konteks semasa. Kami rasa kuasa baharu sedang timbul," katanya.

    Segelintir pihak menyanggah kenyataan persekitaran seni di Istanbul banyak berubah sejak 2005 ketika awal pemerintahan Erdogan sehingga majalah Newsweek memberikan jolokan kepada kota raya Turki sebagai 'the coolest city in the world.'

    Tekanan terhadap gerakan protes musim bunga pada 2013 yang turut membabitkan ramai seniman menandakan berakhirnya persekitaran yang menyenangkan di negara berkenaan.

    Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan lebih 8,000 penunjuk perasaan cedera akibat tindakan polis semasa protes antikerajaan yang membantah rancangan untuk membangunkan tanah di Gezi Park di tengah Istanbul berdasarkan laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Turki.

    Asli Sumer yang menguruskan galeri di daerah perairan Karakoy berkata, berbanding mengkritik pihak berkuasa secara langsung, seniman lebih berminat mengguna pakai cara lain untuk menangani keadaan yang sukar itu.

    Sebagai tambahan kepada Biennial, pameran antarabangsa seni kontemporari mengalu-alukan lebih daripada 80,000 pengunjung antara 14 hingga 17 September yang memperlihatkan daya tahan senario seni Turki.

    Pada tahun ini, salah satu pameran utama ialah Box of Democracy oleh Bedri Baykam, antara hasil karya moden Turki genre tiga dimensi yang berpengaruh.

    Pameran dalam bentuk kotak telefon besar yang pengunjung dapat menikmati ruang bebas itu, dihasilkan pada 1987 untuk mengkritik penindasan yang berlaku yang diwarisi daripada rampasan kuasa tentera 1980.

    Mengekalkan kebebasan kreatif seperti itu dapat dilakukan melalui pembiayaan seni moden oleh dana persendirian tanpa bimbang campur tangan kerajaan.

    Istanbul Biennial dianjurkan oleh Istanbul Foundation For Culture and Arts (IKSV) yang dikendalikan secara persendirian oleh konglomerat industri keluarga, Koc Holding.

    "Kesannya, kerajaan tidak mempunyai pengaruh untuk memberikan sebarang tekanan," kata pakar sejarah perbandaran dan senario seni Istanbul, Orhan Esen.

    Sebagai tambahan kepada keadaan politik, beberapa tindakan vandalisme mutakhir ini turut menggegarkan senario seni. Arca lelaki berbogel oleh seniman Australia, Ron Mueck yang terletak di Istanbul bahagian Asia dirosakkan akhir bulan lalu.

    Tahun lalu, beberapa serangan berlaku di daerah Tophane yang terletak di bahagian Eropah Istanbul, iaitu kawasan yang menempatkan campuran ekspatriat, hipster Istanbul dan konservatif Turki, memaksa galeri untuk berpindah ke Kadikoy yang terletak di bahagian Asia.

    "Seorang rakan seniman memberitahu saya 'bermula sekarang, kita tidak akan mengadakan sebahagian pameran kita di Turki," kata Ozgen.

    Beliau berkata, seniman lain sudah pun meninggalkan negara. Situasi semasa di Turki bagi seniman dianggap absurd.

    Bagaimanapun situasi itu menggoyahkan sikap optimisnya dan baru-baru ini, Ozgen membuka galeri seni kontemporari yang baharu di tenggara Diyarbakir di sebalik keganasan yang berterusan di wilayah yang turut menyaksikan pertempuran tentera dengan pejuang Kurdish.

    Bagi seniman, soalan meninggalkan tanah air tidak timbul. "Kita tidak boleh lari buat selama-lamanya." - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Seniman Turki Tetap Kritis Dalam Era Erdogan "