• Semua Masalah Kewarganeraan Di Sarawak Perlu Diselesaikan Selewatnya 1 Disember Depan - TPM

    Published: Sunday, 5 November 2017
    A- A+

    KUCHING - Semua permasalahan berkaitan kewarganegaraan di negeri ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya 1 Disember nanti.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan serius dalam menyelesaikan perkara tersebut yang telah berlaku berpanjangan menyebabkan ada anak-anak lahir di negeri ini tiada dokumen pengenalan diri.

    Katanya, ketiadaan dokumen itu menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahan seterusnya gagal mendapat pekerjaan dan menghadapi masa depan yang gelap.

    "Saya sudah memberi tarikh sasaran bahawa mana-mana permohonan berkelayakan dan memenuhi semua dokumen serta pensyaratan bagi mendapat kad pengenalan atau sijil kelahiran harus diselesaikan pada atau sebelum 1 Disember tahun ini.

    "Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak sudah arahkan menubuhkan pasukan petugas khas menyelesaikan masalah ini, di samping pasukan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun yang menjalankan tugas sama di kawasan pedalaman," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini petang ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat dan Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim.

    Beliau mengulas isu terdapat masih ramai penduduk berbilang kaum termasuk Penan dilahirkan di Sarawak yang layak mendapat warganegara tetapi masih tidak mempunyai kad pengenalan atau sijil lahir. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Semua Masalah Kewarganeraan Di Sarawak Perlu Diselesaikan Selewatnya 1 Disember Depan - TPM "