• Selepas Dikritik Netizen, Aishah Dapat Tajaan Pakaian Calvin Thoo

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tampil dengan persalinan serba merah pada malam berlangsungnya minggu kedua Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada Ahad lalu, penampilan Aishah Ariffin, 52, itu mendapat kritikan hebat netizen yang tidak senang menyaksikan pakaian tersebut.

    Pemilihan warna tudung dan jenis fabrik pakaian tersebut disifatkan tidak sesuai dengan imej penyanyi itu yang dianggap legenda lantas menjadi topik sohor kini di laman-laman sosial termasuklah dalam kalangan pereka fesyen sendiri.

    Tidak cukup dengan itu, timbul pula cerita sedih mengatakan Aishah tidak mendapat tajaan baju untuk pembabitannya dalam GV4 dek kerana saiz tubuhnya yang besar.

    Lantaran tularnya berita berkenaan semalam, pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo menyuarakan kesediaannya untuk menaja pakaian buat pelantun lagu Janji Manismu itu seandainya Aishah mara ke peringkat akhir GV4.

    “Sebetulnya, saya tidak mahu menaja pakaiannya, tetapi saya mahu menghadiahkan sepasang persalinan yang gah, sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi legenda negara. Itu tawaran yang ingin saya berikan kepadanya.

    “Bahkan, dari dulu lagi saya amat meminatinya. Saya harap impian ini dapat ditunaikan,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

    Sementara itu, Aishah di laman sosialnya menyatakan dia dihujani panggilan telefon daripada pereka-pereka fesyen tanah air yang berbesar hati menawarkan tajaan kepadanya.

    “Tak sangka tular pula cerita baju saya untuk GV4 ini. Sebenarnya saya tidak pernah bercerita kepada sesiapa mengenai ketiadaan penaja baju untuk program ini.

    “Ya, memang betul ramai yang menghubungi saya untuk menawarkan tajaan pakaian termasuk solekan. Namun, saya lebih selesa dengan keadaan sekarang.

    “Cukuplah sekadar suami yang mengiringi saya sepanjang GV4. Saya juga tidak suka diiringi ramai orang,” jawab Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin di status laman Facebook miliknya.

    Tambah Aishah, sejak bergelar penyanyi, dia lebih gemar menggunakan khidmat jurusolek dan pakaian yang disediakan penganjur atau stesen televisyen, tiada masalah baginya.

    Aishah juga berkata, buat masa ini dia hanya memerlukan tajaan aksesori untuk persembahan pada minggu ketiga GV4 yang akan diadakan Ahad ini.- UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Selepas Dikritik Netizen, Aishah Dapat Tajaan Pakaian Calvin Thoo "